Pagi itu aku termenung sendirian.Cuba mengingati kembali kenangan dimasa silam.Kenangan zaman persekolahan.Indah rasanya apabila dikenang kembali.Terkenang zaman pahit manis menjadi seorang pelajar.Di situlah aku menimba ilmu,di situlah aku mengenal erti persahabatan,dan di situ jugalah aku mengenal erti percintaan.Aku tersenyum.Mahu rasanya kembali ke alam persekolahan.Lantas aku mencapai majalah sekolahku yang berada di meja kopi.Entah sudah berapa ratus kali aku membelek dan membaca majalah tersebut tanpa rasa jemu.Aku cuba mencari foto diriku dan sahabat baikku,Mira dalam majalah tersebut.Itulah perkara pertama yang akan ku lakukan apabila membelek majalah yang membawa seribu erti terhadap diriku.Lantas mataku menangkap foto kami berdua.Dalam foto kelasku itu,aku duduk bersebelahan dengan Mira.Persahabatan aku dan Mira bagai isi dengan kuku.Tidak dapat dipisahkan.Ingatanku kembali menerawang ke masa silamku...
"Alin,kenapa kau tak nak bercinta macam budak-budak lain?",soalan yang tidak pernah ku duga keluar dari mulut Mira. "Kenapa kau tanya aku soalan macam tu?",aku membalasnya dengan pertanyaan. "Saje,aku kan wartawan terbaik merangkap ketua pengawas kat sekolah ni.Jadi,aku ada hak nak tanya soalan macam tu kat kau",jawab Mira. "Oh,wartawan rupanya.Aku tak tahu pulak kawan baik aku ni selain jadi ketua pengawas kat sekolah,ada kerja sebagai wartawan tak rasmi.Sibuk bergosip sana sini.Kita kan lagi berapa bulan je nak SPM.Belajar jela.Malas aku nak fikir pasal tu". "Tapi Alin,kau kena bagi aku sebab kenapa kau tak nak bercinta.Hah,bagi!",balas Mira.Nampaknya dia benar-benar mahukan penjelasan dariku. "Okey,yang pertama,aku rasa aku terlalu muda untuk bercinta.Yang kedua,aku belum bersedia lagi.Yang ketiga,aku tak pernah percaya wujudnya cinta.Dah,takat tu je.Aku malas nak bagi sebab lagi.Baik aku habiskan kerja fizik ni dulu sebelum aku merapu tak tentu hala lagi". "Eleh,tahulah dia tu terror dalam fizik",Mira mencebik. "Tapi kan,kenapa kau tak percaya wujudnya cinta?Bukankah cinta sejati tu ada dalam hidup kita?" Aku merenungnya."Aku tak pernah percaya dengan semua tu.Sebab aku tak jumpa lagi..." "Okey,tapi aku cuma nak cakap satu benda dengan kau". "Apa dia Mira?" "Kau akan jumpa jugak cinta sejati tu.Lambat atau cepat,kau pasti akan ketemu juga dengan cinta sejati kau.Percayalah!" "Tak,aku tak percaya.Kat dunia ni memang tak ada cinta sejati",aku menambah. "Suka hati kau lah,aku cakap je.Jangan satu hari nanti dah dikecewakan cinta,baru kau nak percaya dengan kata-kata aku ni",akhirnya Mira mengalah dengan kedegilanku.Aku cuma tersenyum kecil.
Selang beberapa bulan,keputusan SPM dikeluarkan.Aku berjaya mendapat keputusan yang agak membanggakan.Begitu juga dengan Mira.Kami mendapat pelbagai tawaran untuk melanjutkan pelajaran.Akhirnya,aku memilih untuk belajar disalah sebuah institusi pengajian tinggi awam yang terkemuka di Malaysia.Mira memilih untuk melanjutkan pengajian di luar negara.Kami berdua berpisah atas faktor jarak.Aku sering merindui Mira kerana dia merupakan sahabat baikku sejak kecil lagi.Aku merasa kesunyian tanpa Mira di sisi.Namun,kekosongan Mira terisi apabila seorang pemuda datang mengetuk pintu persahabatan.Aku mengenali pemuda tersebut ketika aku belajar di universiti.Daniel gerangannya.Orangnya putih,tinggi,kacak dan mempunyai lesung pipit di pipi.Keistimewaan yang ada dalam diri Daniel membuatkan aku tergerak hati untuk mengenali hati seorang adam.Aku berkawan dengan Daniel kerana sifatnya yang berjaya meruntun hatiku untuk mencari makna cinta.Daniel bukanlah orang berada.Dia kehilangan ayahnya ketika berusia dua tahun.Sayang,dia tidak sempat untuk menikmati kasih sayang seorang ayah.Namun,dia masih mempunyai seorang ibu yang gigih membesarkannya dengan wang jualan nasi lemak.Dengan wang hasil jualan tersebutlah Daniel berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Hari berganti hari,bulan berganti bulan,tahun berganti tahun,cinta kami tetap utuh.Namun kami berdua tidak pernah lupa tanggunggjawab kami yang lebih besar,iaitu menghabiskan pengajian.Akhirnya,kami berjaya mendapatkan segulung ijazah.Rezekiku murah.Aku diterima bekerja di sebuah syarikat pengiklanan sebagai eksekutif pemasaran tidak lama selepas majlis konvokesyen.Aku terharu kerana akhirnya aku dapat berbakti kepada kedua ibu bapaku.Namun,Daniel masih menganggur.Aku sering memberinya semangat agar tidak putus asa dalam mencari pekerjaan.Suatu hari,Daniel menyatakan kepadaku bahawa dia sudah mendapat pekerjaan.Aku turut berasa gembira.Lantas dia memberitahuku bahawa dia mendapat pekerjaan sebagai kelasi kapal.Aku terkesima.Daniel seorang lulusan universiti gagal mendapat pekerjaan mengikut apa yang telah dipelajarinya semasa di universiti.Daniel mengambil peluang itu kerana itulah rezeki yang ada di depan mata.Daniel memujukku agar aku menerima keputusannya dengan hati yang terbuka.Aku juga berjanji bahawa aku akan setia dan menyetujui segala perancangannya.
Daniel sering mengirimiku poskad mahupun menulis surat menceritakan pengalamannya sebagai kelasi kapal.Suratnya sering kubaca berkali-kali tanpa rasa jemu.Surat dan poskad yang dikiriminya mendekatkan hati kami meskipun kami terpisah dek jarak beribu batu.Aku terhibur membaca suratnya.Namun,kusangkakan panas hingga ke petang,rupanya hujan di tengahari.Ada seorang pemuda datang merisik.Abah bertanyakan kepadaku,mahukah aku menjadi suri hati pemuda tersebut.Abah tidak memaksaku untuk menerima lamaran tersebut.Tetapi,abah menyuruhku berfikir secara mendalam.Semakin hari,umurku semakin meningkat.Abah begitu risau kerana aku belum berkahwin lagi.Aku meminta kepada abah agar memberiku sedikit waktu untuk aku memikirkan lamaran tersebut.Aku bingung memikirkan hal ini.Daniel sudah lama tidak mengirim berita.Aku tidak tahu adakah dia masih menunggu aku ataupun sudah melupakan aku.Akhirnya,aku menerima lamaran pemuda yang tidak kukenali.Air mataku merembes membasahi pipi tatkala aku menyuarakan hasratku kepada abah.Aku harus membuat pilihan ini untuk kebaikanku juga.
Hari yang ditunggu akhirnya semakin dekat.Aku semakin risau apabila memikirkan persiapan perkahwinanku,tatapi yang lebih melemaskan aku,aku belum memberitahu kepada Daniel bahawa aku bakal melangsungkan perkahwinan dengan lelaki yang tidak kukenali.Beberapa hari sebelum berlangsungnya perkahwinanku dengan Syazwan,pemuda yang bakal menjadi suamiku,aku mendapat sepucuk surat kiriman Daniel.Dia memberitahu dalam suratnya bahawa dia akan pulang ke Malaysia untuk melamarku dan berhasrat untuk memperisterikanku.Aku tidak dapat menahan sebak ketika membaca surat tersebut.Daniel berhasrat untuk menemuiku beberapa hari sebelum majlis pernikahanku berlangsung.Aku bertekad untuk menemuinya dan menceritakan segalanya.Biarlah hati ini terluka.
Tiba hari yang dijanjikan,Daniel telah menunggu di bangku.Seluruh anggotaku menggeletar ketika aku berhadapan dengannya.Raut wajahnya yang redup dan senyumannya yang manis menampakkan lesung pipit di pipinya.Air mukanya tenang.Aku terus menangis di hadapan Daniel.Tidak dapat kutahan lagi air mata ini jatuh ke bumi.Daniel menenangkanku.Dengan suaranya yang lembut,dia memujukku untuk menceritakan apa yang berlaku.Aku menceritakan segalanya.Biarlah dia tahu.Seperti yang aku jangkakan,Daniel bungkam.Air mukanya berubah.Namun dia tidak begitu menunjukkan emosinya di hadapanku.Aku tahu perasaannya.Daniel mesti berasa kecewa kerana gadis idamannya bakal menjadi milik orang lain.Perasaan bersalah menyelubungi diriku.Ketika Daniel menghantar aku kembali ke keretaku,aku sedar matanya tertumpu pada sepasang baju pengantin berwarna ungu yang tergantung kemas di dalam keretaku.Aku menangis kembali.Daniel tahu,ungu merupakan warna kegemaranku dan aku pernah menyimpan hasrat bahawa jika aku bakal melangsungkan perkahwinan,aku pasti memilih ungu sebagai tema.Daniel membukakan pintu kereta untuk diriku dan memberi ucapan selamat pengantin baru.Air mataku tidak berhenti mengalir.Lantas aku menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi meninggalkan Daniel.Hatiku bertambah perit apabila lagu nyanyian Azharina,Rawan berkumandang di corong radio kereta.
Ku bahagia pabila kau tiba, Kau,lenyapkan rawan Tak usah dikau pergi Tak ingin lagi Meruntun hiba dengan sesalan Kini ku akui
Segala kemaafan Ku pohon kepadamu Agar kau mengerti Hanya cintamu yang Terbaik untukku
Kini,aku teringat kata-kata Mira suatu masa dulu.Benar katamu Mira,baru sekarang ku mengerti katamu itu.Namun segalanya sudah terlambat.Tidak perlu disesali lagi.Selamat tinggal Daniel...
Aku bahagia di samping suamiku Syazwan dan tiga orang permata hati kami.Sehingga kini,Daniel masih mengingati diriku.Setiap kali berlabuh di mana-mana pelabuhan,dia mesti mengirimiku sekeping poskad sebagai tanda ingatan.Mengikut berita yang ku dengar,Daniel masih membujang sehingga ke saat ini.Mungkin patah hati dengan cinta yang lama.Cinta denganku.Aku berdoa semoga Daniel diketemukan dengan wanita yang lebih baik daripada diriku dan berharap semoga dia ditemukan dengan cinta sejati...
No comments:
Post a Comment