Kamu tak tahu hati ini merasakan apa saat kamu berada di situ..
Hari ini, Maya tidak nampak kelibat dia. Penat matanya menjelajah ke seluruh dataran Astana itu namun langsung tidak menemui lelaki yang berjaya mencuit hatinya itu dalam diam. Maya seperti insan yang lain, punya perasaan suka,minat dan cinta. Tapi buat masa sekarang,hanya perkataan 'suka' dan 'minat' yang mampu diterjemahkan terhadap lelaki itu. Cinta? mungkin jauh sekali. Bukan kerana dia tidak mahu, tapi rasa rendah diri yang bertamu di hatinya membuatkannya berfikir begitu. Kalau ingin menggunakan pepatah, mungkin pepatah "pipit tidak boleh berkawan dengan enggang", boleh digunakan. Tambahan pula, entah mahu entah tidak lelaki itu akandirinya ini. Memang sukar bila menghadapi kenyataan, bila menyukai seseorang yang langsung tidak perasan tentang perasaan kita itu atau mungkin langsung tidak menyedari kewujudan kita.
Tetapi bagi Maya, itu semua tidak mengapa, asalkan hatinya bahagia pabila melihat pria idamannya itu. Perasaannya begitu tulus.
Jadi, siapa sebenarnya gerangan lelaki ini? Entahlah. Namanya pun Maya tidak tahu. Hanya wajahnya sahaja yang Maya lihat. Latar belakangnya? Langsung Maya tidak ambil peduli.
Tetapi, ada satu perkara yang si gadis manis bertudung ini tahu. Hari yang dia akan bertembung dengan lelaki itu, semuanya Maya akan ingat dan mencatat terus ke dalam memorinya. Bertuah betul lelaki itu mempunyai peminat yang begitu peka seperti Maya. Kalaulah lelaki itu tahu.
Hari ini adalah harinya, tetapi bayangnya langsung tidak muncul-muncul. Maya agak sedih sedikit.
Tik tik tik..satu dua dan tiga titik air hujan menjamah mukanya. Maya memandang ke atas melihat langit biru awan kelabu. "hurm.. hujan.." bisik hatinya.
Lantas payung ungu diambil dari dalam beg putihnya dan dibuka. Maya tidak boleh terkena hujan, nanti demam pula yang datang tanpa dipinta. Langkah diatur satu persatu berhati-hati agar tidak tergelincir di jalan condong itu. Universiti ini tidak sah kalau tiada jalan berbukit. Pandangan Maya hanya tertumpu pada kakinya sahaja, malu juga kalau terjatuh nanti akibat tersepak sesuatu. Hujan-hujan begini biasanya banyak ranting-ranting kayu yang jatuh dari dedahan sang pepohon. Puas melihat kebawah, Maya memandang terus ke hadapan. Dan di saat itu juga, matanya tertumpu pada satu susuk tubuh lelaki. Ya, lelaki itu! lelaki yang dicarinya tadi.Berpayung bersama temannya. Sangat comel Maya melihat lelaki itu pabila berpayung. Tapi Maya hanya melihat sekejap, takut juga kalau-kalau lelaki itu perasan dia menjadi perhatian Maya.
Walaupun Maya sudah tidak melihatnya, tetapi bibirnya mengukir senyuman bahagia. Bahagia melihat si pujaan hati. Hatinya apatah lagi, sangat berbunga-bunga. Rasa tidak puas melihat lelaki itu tadi lantas Maya mengangkat sedikit payungnya semasa berselisih dengannya di tepi jalan raya yang basah itu. Begitu kebetulan, sewaktu Maya mengangkat muka untuk melihat lelaki itu, lelaki itu juga sedang melihatnya. Maya cepat-cepat mengalih pandangannya. Hatinya berdegup kencang tidak mahu bertenang. Perasankah dia? Maya bimbang jika dia perasan. Tetapi,kemudian, rasa takut itu hilang kerana di fikirannya, mungkin kejadian tadi boleh membuatkan lelaki itu perasan akan kewujudannya. "tak mengapalah.." kata hatinya..
Tetapi, apabila Maya berfikir dua kali, mungkin pandangan lelaki tadi hanyalah kebetulan, tidak disengajakan,tanpa niat. Jikalau begitu, itu pandangan yang tidak membawa erti apa-apa.Hanya kosong. "Aah.." Maya mengeluh. Buat apa dia berfikir terlalu jauh. Dia dan lelaki itu tidak ada apa-apa, kenal pun tidak. Maya perlu ingat, dia tidakboleh terlalu perasan dan berperasaan. Emosi kadang-kadang mampu mengubahdamainya menjadi kusut, serabut. Maya begitu ingin dirinya dikenali olehnya,ingin sekali. Tetapi, Maya tidak tahu bila saatnya. Mungkin suatu hari nanti akan tiba detik itu.
Jika lelaki itu menjadii miliknya,dia akan menyayanginya sepenuh hati. Sudah ada perancangan di dalam hatinya.Dia mahu memberikan coklat, baju, keychain sepasang dan macam-macam lagi, andai lelaki itu menjadi miliknya. Tetapi, untuk menunggu saat itu, mungkin bertahun-tahun masa yang diambil atau mungkin tiada peluang langsung. Maya mengeluh lagi.
"Uhuk uhuk.." Maya menekup mulut.Tekaknya berasa sakit. Sakit seperti biasa sejak dua bulan yang lalu. Warna merah sudah biasa menjadi satu hiasan di kertas tisunya. Warna merah yang selalu menakutkan Maya. Semakin hari semakin banyak, semakin besar ruangan kertas tisunya yang dipenuhi darah merah itu. Dijangka, waktunya sudah tidak lama. Maya takut untuk menghadapi hari itu. hari nyawanya akan diambil. Amalnya masih tidak cukup. Ingin berubat, duitnya tidak pernah cukup. Maya tidak mahu ibu ayahnya bimbang lantas dia merahsiakan segala penderitaan yang dialaminya.Bila tiba saat dia tidak berdaya, Maya hanya bertahan, kadang-kadang tidur untuk melupakan kesakitannya.
Hari ini hari Khamis. Seperti biasa Maya ke kuliah berjalan kaki. Tidak perlulah dia menghabiskan seringgit sehari untuk tiket bas. Maya perlu menyimpan wang untuk hidup. Duit biasiswa di dalam akaunnya digunakan untuk membiayai perbelanjaan persekolahan 4 orang adiknya yang masih belajar di sekolah rendah. Hari ini Maya berasa sangat pening, tetapi itu tidak menjadi alasan untuk dia mengambil cuti. Kuliah harus dijalaninya seperti biasa, tiada halangan. Maya tidak larat sebenarnya tetapi dia menggagahkan juga dirinya untuk sampai ke fakulti.
Dalam perjalanannya, dia nampak lelaki itu lagi. Hatinya sangat terkejut. Hari ini, rasanya dia mahu melakukan satu perkara. Perkara yang sudah terlalu lama ingin dilakukannya. Perkara yang mudah ini senang sahaja bagi orang lain tetapi tidak Maya. Ingin sekali hatinya melakukan itu dan hari ini dia pasti akan melakukannya seolah-olah ada benda yang mendorongnya untuk bertindak berani sebegitu.
Saat lelaki itu berada kira-kira 1 meter di hadapannya, Maya merenung ke arah lelaki itu, meneliti wajah itu selama mungkin. Melihat rambutnya, matanya, hidungnya, mulutnya dan segalanya.Segala yang ada pada lelaki itu ditatapnya tidak puas. Lelaki itu juga melihat Maya dan mungkin agak bingung kerana diperhatikan sebegitu. Akhir sekali, Maya senyum ke arahnya, senyum seikhlas hatinya, senyum seolah-olah itu senyuman pertama dan terakhir. Maya senyum lagi hinggalah dadanya berasa sakit dan batuknya mengeluarkan darah seperti biasa tetapi kali ini sangat banyak. Maya berasa sangat sakit lalu terjelepok di tanah. Maya jatuh. Bunyinya agak kuat sampai lelaki itu yang baru melepasinya berpaling ke belakang dan terus berlari ke arahnya. Lelaki itu menggerak-gerakkan badan Maya. "Awak, awak.." lelaki itu memanggilnya. Ya, Maya masih dengar suara itu. matanya dibuka perlahan-lahan,dia melihat ke arah wajah lelaki itu, wajah yang dirindunya setiap hari dan mungkin tidak lagi. Maya mengucap panjang. Dada Maya berdegup kencang. Sangat kencang. Dan kemudiannya, matanya tertutup sambil diperhatikan lelaki itu. Maya pergi di pangkuan lelaki yang dirinduinya saban hari. Selamat tinggal wahai lelakiku.
Lelaki itu cemas lebih-lebih lagi apabila melihat mulut Maya yang dipenuhi darah merah pekat. Dia mendail 999 dengan begitu pantas sambil menyelongkar beg Maya untuk mencari telefon Maya.Lelaki itu mahu memberitahu seseorang yang mengenali Maya. Tetapi telefonnya tidak ada. Benarlah, Maya tidak pakai telefon. Tetapi, lelaki itu mengambi lbuku nota Maya dan membelek-belek dengan harapan menjumpai sesuatu. Sampai di satu muka surat, lelaki itu terkejut. Di situ terdapat suatu lukisan potret seseorang. Wajah potret itu mirip wajahnya. Ya, itu memang wajahnya! Lelaki itu melihat kembali ke arah Maya. Saat itu, Maya sudah tidak sedarkan diri. Maya sudah tiada lagi. Maya sudah pergi meninggalkan semua, rindunya, cintanya dan harapannya.
Potret itu direnungnya lagi. Di situ tertera satu nota. "simpan sedikit ruang di hatimu buat Maya..Maya suka kamu..."
"Maya.." nama itu terucap di bibir lelaki itu.
"Aku juga sudah lama meminati kamu,kamu saja yang tidak tahu.." hatinya berbisik sayu. Hatinya sebak. Wanita ini sebenarnya sudah lama menghiasi hatinya, sejak dari kali pertama dia melihatnya.
Tatkala itu, orang semakin ramai mengerumuni mereka berdua. Cinta mereka berdua tidak kesampaian, bermula dengan satu pandangan, berakhir dengan satu ketiadaan. Selamat tinggal cinta.
No comments:
Post a Comment